Khatulisjiwa Khayalz



Monday, August 28, 2006


Nikmat Sastera
gambar dari lelaman: http://perdana.fsktm.um.edu.my/~mazliza/img/optical_illusion1.jpg
"Lebih daripada satu dimensi"

Secara sepintas lalu, gambar yang saya sisipkan di atas kelihatan seperti gambar-gambar lain yang biasa kita lihat. Namun demikian, jika diteliti, ada sesuatu yang menarik dan ganjil tentang gambar tersebut. Pemerhatinya mungkin tertanya, "Bahagian mana yang di atas dan bahagian mana yang di bawah?". Malah, semakin dilihat, mungkin semakin mengelirukan. Apa yang pasti tidak semestinya setiap individu mempunyai penilaian yang sama terhadap gambar tersebut. Mungkin, kesan pemikiran yang wujud pada pandangan yang pertama sahaja akan memaparkan perbezaan sedikit-sebanyak di antara satu individu dengan satu individu yang lainnya.

Seperti gambar yang ada di atas, begitulah perspektif saya terhadap sastera. Saya melihat sastera sebagai suatu unsur (lebih tepat lagi - hasil tulisan) yang mempunyai lebih daripada satu dimensi. Sesuatu bahan sastera itu berbeza daripada bahan-bahan yang lainnya disebabkan oleh kriteria tersebut. Apa yang saya maksudkan dengan "lebih daripada satu dimensi" ialah sifat atau ciri sastera yang membolehkan seseorang pembaca itu menilai sesebuah karya itu bukan sahaja dari sudut permukaan, iaini yang tersurat, tetapi juga yang tersirat.

Justeru, siratan maksud di sebalik apa yang tersurat sememangnya akan mempunyai perbezaan di kalangan satu individu dengan satu individu yang lainnya. Seorang individu itu mungkin hanya dapat menghayati satu siratan maksud di sebalik sesebuah karya itu tetapi temannya pula mempunyai lebih daripada satu siratan maksud. Atau mungkin... Seseorang individu yang lain pula mungkin mengalami suatu kesan emosi yang dahsyat terhadap karya tersebut. Malah, tidak mustahil jika ada seseorang yang tidak mengalami sebarang kesan perasaan langsung kepada apa yang telah dibacanya atau mungkin tidak dapat memahami langsung siratan maksud yang terkandung di dalamnya. Ini semua begantung kepada pengalaman peribadi yang dialami seseorang individu itu.

Sejak di bangku sekolah, saya cukup kagum dengan bahan-bahan sastera yang saya baca (khususnya genre novel dan puisi). Malah, kadangkala sesuatu yang saya baca itu mampu meninggalkan kesan kepada diri saya. Contohnya, semasa di sekolah menengah, saya membaca novel bertajuk Diari Bonda oleh Rohani Din. Novel tersebut menelusuri kehidupan yang dilalui seorang ibu yang bersemangat waja. Secara zahirnya, memang cabaran-cabaran yang dikongsi itu biasa-biasa sahaja - setiap kehidupan pasti ada pasang surutnya. Namun demikian, pergolakan yang dialami watak tersebut dan cara pergolakan itu ditampilkan, meninggalkan bibit-bibit kesedihan dalam diri saya. Saya berasa cukup kagum dengan keteguhan jiwa watak yang dipaparkan. Mungkin ini dapat saya kaitkan kerana saya amat rapat dengan ibu saya. Ibu merupakan orang terpenting dalam hidup saya. Lantas kesan emosi yang dapat saya rasakan apabila membaca rakaman kisah watak ibu dalam novel tersebut amat mendalam.

Namun demikian, kesannya berbeza apabila saya mengesyorkan buku tersebut kepada rakan seperjuangan saya. Saya ingat lagi kata-katanya: "Macam manalah kau boleh terlarat nak baca buku setebal tu? Kalau aku tak sanggup... Baca satu bab sahaja dah ngantok."

Berbalik kepada persperktif tentang Sastera itu sendiri... Sememangnya, berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang remaja, saya dapati bahawa rakan-rakan sebaya saya mempunyai pandangan yang agak "dangkal" terhadap sastera. Apa sahaja yang berkaitan dengan sastera, apatah lagi yang ditulis dalam Bahasa Melayu dilihat sebagai sesuatu yang membosankan. Malah, ramai di antara kawan-kawan sebaya yang tidak gemar membaca buku fiksyen Melayu, novel mahupun puisi.

Sikap kurang minat yang saya lihat di kalangan teman-teman saya sejak dahulu telah memberikan gambaran kepada saya tentang penerimaan yang bakal saya dapati daripada murid-murid apabila mengajar sastera kepada murid-murid kelak. Saya semakin sedar akan hakikat bahawa saya sebagai seorang bakal guru harus berusaha dengan gigih untuk memikirkan cara yang paling berkesan, menarik dan sekreatif mungkin untuk mendekatkan murid-murid saya kepada sastera.

Bagaimanakah dapat aku sebagai guru menarik minat pelajar terhadap sastera?

Sememangnya itulah persoalan yang seolah-olah menghantui fikiran saya sejak saya dikejutkan oleh realiti yang SAYA mungkin AKAN MENGAJAR SASTERA kelak. Namun demikian, berdasarkan apa yang sering dikongsi oleh teman-teman dan maklum balas guru-guru yang pernah mengajar sekolah menengah, kunci untuk menarik minat murid-murid, terutama sekali remaja kepada sastera (atau apa sahaja pelajaran sebenarnya) adalah untuk berfikir seperti mereka. Apa yang saya maksudkan ialah, kita harus cuba untuk meneliti apakah unsur-unsur yang mereka minati atau apakah fenomena terkini yang mampu membuka mata mereka pada ketika itu.

Contohnya, jika mereka gemar pada blogging, maka mungkin kaedah itulah yang boleh digunakan. Mungkin saya boleh menggalakkkan mereka mmbuat blog mereka sendiri dan cuba menghasilkan bahan sastera yang dapat dikongsi melalui blog tersebut.

Selain itu, mungkin jika mereka gemarkan alunan suara lunak Ariel Peterpan atau Duta Sheila On 7, saya dapat menggunakan lirik lagu mereka sebagai bahan sastera yang dapat dikaji dari aspek kepuitisannya. Memikirkan tentang kemungkinan-kemungkinan ini sahaja telah membuat saya ghairah dan tidak sabar ingin bereksperimentasi apabila tiba masanya nanti. InsyaAllah...

Namun begitu, sebagai seorang guru yang tugas utamanya untuk menyampaikan pengajaran kepada murid-muridnya, saya akui, kendala-kendala tertentu mungkin wujud sewaktu "keghairahan" saya untuk merealisasikan kemungkinan-kemungkinan itu. Satu kendala yang terbentang dengan jelas di depan mata kita ialah Kendala Kurikulum. Bukan mudah untuk melaksanakan pengajaran berasaskan apa yang dikehendaki kurikulum dan unsur kreativiti yang juga amat perlu dalam jangka masa yang agak terbatas.

Walau apapun, saya sedar bahawa segalanya bermula dari diri saya sendiri sebagai seorang individu dan guru. Justeru, segala minat yang ingat saya pupuk harus bermula dari diri saya sendiri dan kerana itu saya berazam untuk mendekatkan diri kepada dunia sastera, sekurang-kurangnya sebagai khalayak pembaca pun jadilah. Mudah-mudahan minat yang terpupuk dalam diri saya akan menjadi pemangkin dan pendorong kepada cetusnya minat di kalangan murid-murid saya kelak. Bukan berangan tetapi suatu aspirasi...

Sebenarnya, jika ditanya tentang apa takrifan saya terhadap sastera. Saya lebih selesa untuk menjawabnya begini,

~Keindahan dalam keIndahan~

Sastera itu indah (keIndahan) dari sudut lahirnya. Keindahan tersebut boleh dicapai dengan apa juga cara sekalipun. Seseorang penulis itu bebas untuk menggunakan kebijaksanaannya dengan pemilihan kata dan sebagainya.

Pada masa yang sama...
dalam proses menghasilkan dan menghayati sesebuah hasil sastera itu, kita dapat merangkul Keindahan dari segenap segi melalui apa jua cara, baik sebagai penulis mahupun pembaca. Sesuatu yang bersifat tersendiri, peribadi atau mungkin individualis.

Malah, semakin saya didedahkan dengan dunia sastera, saya dapati takrifan sastera saya kian berkembang. Semakin saya dewasa, pergolakan yang saya alami semakin mendekatkan saya kepada sastera.

Sastera sebagai satu wadah untuk saya meluahkan perasaan semahunya dan melarikan diri dari realiti dan menjerumuskan diri dalam satu dunia yang indah. Santapan rohani bagi saya.
Keindahan itulah yang terasa, Nikmat itulah yang saya maksudkan. :)



Berfikir sejenak 12:20 AM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com