Khatulisjiwa Khayalz



Sunday, September 24, 2006


Tujuan mengajar sastera

Selain daripada remaja sebagai golongan yang berani dan sering terjerumus dalam pelbagai masalah, saya juga mendapati bahawa mereka-mereka di dalam linkungan umur ini tidak gemar kepada sesuatu perkara yang melibatkan pemikiran yang terlalu mendalam. Saya ingat lagi sewaktu saya di sekolah menengah, apabila guru saya menyuruh kami memikirkan tentang sesuatu perkara yang agak serius, mahupun setakat hanya memikirkan makna perkataan, ramai kawan-kawan saya yang menganggapnya sebagai "chim".

Sebab itu sewaktu perbincangan di kelas tentang watak-watak remaja dalam novel tempoh hari, saya terfikir, sedang kita sibuk memikirkan tentang karya apakah yang sesuai untuk mendekatkan remaja kepada sastera dan juga memikirkan cara yang sesuai untuk menarik minat para remaja kepada sastera, pada hakikatnya, "Apakah agaknya persepsi remaja terhadap sastera?" Ini kerana, seperti yang saya katakan tadi, mereka tidak suka berfikir. Oleh itu, apakah terdapat sebarang kemungkinan langsung untuk kita menarik minat mereka?

Mungkin ini satu pemikiran yang agak negatif tetapi saya rasa sekadar mengongsi apa yang timbul di benak saya tempoh hari. Ini terutama sekali semasa Kak Shikin mengongsi bahan sastera bagi remaja yang diiringi lagu itu. Pada mulanya, apabila saya terlihat apa yang ingin dikongsi Kak Shikin, saya teruja dan minat saya untuk mendengar apa yang ingin dikongsi dengan serta-merta tercetus. Ini disebabkan oleh minat saya terhadap puisi, terutamanya lagu-lagu dari artis-artis Indonesia yang sangat puitis. Saya suka lagu-lagu sebegitu kerana walaupun ianya sering menyentuh soal cinta, perspektif cinta yang dipaparkan amat berbeza dan pemilihan kata yang digunakan menambahkan nilai estetika yang tinggi. Ini jarang didapati dalam lagu-lagu Malaysia. Saya gemar menghayati lirik-lirik lagu puitis sebegitu.

Namun demikian, saya terfikir, adakah murid-murid saya nanti mempunyai pandangan yang serupa? Adakah mereka turut berminat untuk meneliti makna yang tersirat di sebalik lagu-lagu tersebut dan menghayati estetikanya? Itulah yang timbul di benak saya apabila Kak Shikin mengongsi bahan tersebut. Walau bagaimanapun, mungkin tidak semua remaja yang mempunyai sikap sambil lewa terhadap sastera, mungkin terdapat juga golongan yang menunjukkan minat terhadap penghayatan sesebuah karya sastera.

Ini mungkin dapat saya kaitkan dengan apa yang dikatakan Dr. Razif tempoh hari. Jangan ditanya "Apakah maksud kisah ini" tetapi sebaliknya, "Apakah yang kamu fahami daripada cerita ini?" Hmm... Apapun jua, sebenarnya semuanya terletak di bahu guru tersebut kan? Kun Faya Kun, guru yang mampu menentukan segalanya. Mungkin satu cara baik ialah melihat apakah fenomena yang sedang berleluasa ketika itu dan bahan sastera kemudiannya dapat dipilih sejajar dengan isu tersebut.

Dengan itu, apakah agaknya tujuan mengajar sastera di sekolah? Bagi saya, pengajaran sastera memberikan ruang bagi para remaja untuk meluaskan fikiran mereka dan menjana minda mereka dengan berfikir secara kreatif dan kritikal terhadap bahan-bahan sastera yang diperkenalkan guru kepada mereka. Contohnya, guru boleh memilih sebarang karya sastera untuk didedahkan kepada para pelajarnya dan sebuah aktiviti boleh diadakan untuk menggalakkan mereka berkongsi pandangan dan penilaian terhadap bahan sastera itu.

Lantas ini memberikan saya satu lagi idea tentang tujuan mengajar sastera di sekolah, iaitu untuk menambahkan lagi ruang kreativiti di kalangan para pelajar. Ini kerana sastera memberikan ruang kepada para pelajar untuk mengekspesi dan menyelami suatu bahan sastera sebebas yang mungkin, menurut intepretasi sendiri. Malah, kepelbagaian yang terdapat pada bahan-bahan sastera memberi ruang kepada pelbagai aktiviti menarik di dalam bilik darjah. Saya sendiri cukup tertarik dan teruja dengan kepelbagaian cara Dr. Razif mengendalikan kelas-kelas bagi modul ini. Antara aktiviti yang pernah saya lakukan ialah seperti:

1) Diskusi sastera
2) mengatur bait-bait sajak dan memberi tajuk kepada sajak tersebut
3) mereka baris-baris sendiri untuk melanjutkan sebuah puisi
4) roleplay untuk menghidupkan watak-watak dalam sebuah cerpen
dan sebagainya....

Apa yang pasti, untuk mengajar sastera, guru harus membuat pemilihan bahan-bahan sastera yang bijak. Saya rasa bahawa perkara yang paling wajar difikirkan dalam membuat pemilihan tersebut ialah kemampuan teks sastera itu untuk menjana pemikiran para remaja dan mengungkap perbincangan di samping mengambil kira minat mereka. Di samping itu, saya juga berasa bahawa teks itu dikatakan mempunyai nilai tambahan jika ia turut memuatkan isu-isu semasa atau fenomena-fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita. Apa yang penting bagi saya ialah, seperti yang telah saya katakan, ia harus berupaya mencipta ruang untuk pemikiran kreatif dan kritis para pelajar dalam mengungkapkan penilaian mereka.

Di samping itu, saya juga berpendapat bahawa teks kanonikal boleh juga digunakan di sekolah jika ia disesuaikan dengan sewajarnya. Memang akan menjadi suatu yang membosankan sekiranya guru hanya menghendaki pelajar membaca teks-teks kanun itu sahaja (Sejarah Melayu dan sebagainya), tetapi guru boleh menggunakan kreativitinya contohnya dengan menukil satu bahagian daripada teks itu untuk dijadikan aktiviti di dalam kelas. Contohnya, bagi teks kanun Sejarah Melayu, guru boleh memilih kisah Hang Tuah dan mendapatkan beberapa orang pelajar untuk melakonkan semula babak tersebut.

----------------------------------------------------------

Sidetrack...

Sedang dalam proses mempertimbangkan karya-karya yang sesuai bagi golongan remaja... Sejauh ini, saya cukup tertarik dengan dua karya berikut ini:




Sebelum ini, saya tidak begitu tertarik dengan karya-karya dari penulis-penulis Indonesia, namun, minat Dr. Razif yang mendalam terhadap karya-karya Indonesia telah membuatkan saya berminat untuk "menjelajahi" buku-buku Indonesia....
Amat menarik sebenarnya (",)



Berfikir sejenak 10:13 PM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com