Ternyata novel ini oleh Dewi Lestari itu telah menyedarkan saya akan kebenaran kata Dr. Razif tempoh hari, iaitu tentang hakikat bahawa karya-karya Indonesia lebih menarik dan menampilkan cerita yang berbeza daripada novel-novel Malaysia yang selalunya kita baca. Pada mulanya, saya akui bahawa amat sukar untuk saya meneruskan pembacaan saya disebabkan penggunaan bahasanya yang agak berbeza, namun lama-kelamaan, setelah semakin terbiasa dengan gaya bahasanya, saya seolah-olah telah tertawan dengan jalan ceritanya yang amat menarik. Ia benar-benar mengungkap pergolakan perasaan yang dialami watak dan saya cukup gemar dengan cara penulis menggunakan dialog dan monolog watak yang amat bersahaja dan kadangkala lucu.
Pada masa yang sama, saya rasa para remaja yang membacanya pasti dapat mengambil iktibar daripada kisah tersebut. Ia bukan setakat menampilkan watak remaja yang berhadapan dengan masalah, tetapi turut memaparkan cara remaja tersebut bertindak secara rasional dengan berserah kepada Allah dan bekerjasama dengan orang-orang di sekelilingnya, pendek kata, tidak terlalu emosional dari segi tindakannya. Malah, saya rasa ianya menyampaikan mesej yang baik berkenaan dengan agama, iaini tentang perlunya seseorang itu terus berdoa dan pasrah dengan ketentuanNya dalam menempuhi kesukaran dalam kehidupan.
Justeru pada masa yang sama, saya dapati strategi membaca yang saya pelajari daripada Dr. Razif iaitu Peta Cerita juga amat berkesan dan berguna bagi para pembaca, khususnya para pelajar sastera. Ini kerana, saya sendiri, setelah menggunakan strategi tersebut, mendapati bahawa pemahaman lebih tinggi dan saya juga dapat mengungkap kembali isi cerita dengan mudah pada bila-bila masa apabila merujuk kepada Peta Cerita tersebut.
Sebenarnya, sewaktu menempuhi "cabaran" untuk menghabiskan pembacaan novel terseut, saya mulai sedar bahawa sememangnya tidak semua orang mempunyai minat semulajadi terhadap membaca. Mentelah lagi, jika seseorang itu sibuk dengan pelbagai perkara lain yang harus dilaksanakan, masa untuk diluangkan khas untuk membaca amat terbatas. Namun demikian, segalanya bergantung kepada inisiatif kita sendiri. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Apa yang saya dapati ialah, satu diantara daya yang dapat dilakukan untuk meningkatkan tumpuan kita terhadap membaca ialah untuk menyedari apakah tujuan kita membaca. Pastinya ada. Sama ada untuk merehatkan minda, menimba pengetahuan atau sekadar menepati keperluan untuk menghabiskan pembacaan sesebuah teks sastera. Yang pentingnya, harus tahu apa tujuan kita dan harus melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Jika tujuannya untuk mendapat pengertian daripada bahan penceritaan tersebut, strategi pembaca seperti peta cerita, nota birai dan sebagainya yang telah dikuliahkan Dr. Razif tempoh hari sememangnya mampu melaksanakan tujuan tersebut.
Justeru saya pasti dengan melaksanakan strategi membaca itu di dalam kelas kelak, pelajar-pelajar dapat memahami isi cerita dan mencerna idea dengan lebih baik lagi. InsyaAllah.