Sunday, September 03, 2006
Remaja sebagai watak utama dalam KaryaDalam jurnal yang lepas, saya telah pun cuba untuk mentakrifkan siapakah yang dimaksudkan dengan remaja. Sememangnya kenyataan tentang remaja memang sukar diubah - mereka berani dan pada masa yang sama lemah kerana mereka senang terpengaruh dengan unsur-unsur di sekeliling mereka. Seringkali saya dapati bahawa terdapat banyak karya-karya remaja, sama ada yang ditulis oleh seorang dewasa tentang kehidupan seorang remaja atau oleh seseorang remaja itu sendiri, yang menampilkan
watak remaja yang bermasalah.
1) Remaja yang hamil anak luar nikah
2) Remaja yang tidak dengar kata ibu bapa sehingga terjebak dalam situasi yang sukar
3) Remaja yang terpengaruh dengan kata kawan-kawan sehingga terlibat dalam satu pencurian atau perkara-perkara buruk yang lainnya
4) Remaja yang sedang melalui dilema dalam soal cinta atau masalah-masalah yang lainnya
Itulah di antara pokok isi yang lazimnya ditampilkan dalam karya-karya remaja. Namun demikian, pada pandangan saya, tujuan karya-karya begitu diterbitkan ialah supaya masyarakat dapat mengambil iktibar daripada contoh yang diceritakan itu. Ibu bapa, masyarakat secara umumnya mahupun remaja itu sendiri harus memainkan peranan untuk menghindari masalah yang diutarakan dalam karya itu dan selain itu, mungkin juga penulis itu ingin memperlihatkan jalan penyelesaian yang boleh diambil bagi seseorang yang sedang dalam situasi yang dipaparkan itu. Apa yang pasti, sebagai seorang pembaca, kita diajak untuk menilai pergolakan yang dilalui seseorang watak remaja itu serta kewajaran tindakannya atau tindakan orang-orang di sekelilingnya.
Bercakap tentang karya remaja, ingin saya kongsi sebuah sajak oleh Atik Isdiana Andi Hassan yang diterbitkan dalam Berita Harian pada tanggal 1 Jun 2003:
Salah Siapa
Patutkah kita menuding jari?
Patutkah kita melempar tuduhan?
Ketika mereka tersalah arah, tersesat jalan
Terjerumus dalam remang sudut kehidupan
Terheret arus hitam nikmat duniawi
Di manakah kita?
Saat mereka butuhkan bimbingan
Saat mereka perlukan belaian
Pedulikah kita?
Saat mereka dambakan kasih
Saaat mereka inginkan tempat bermanja
Salahkah mereka mencari sesuatu yang tak pernah didapat
Dosakah mereka mewarnakan kehidupan
Kerana kita tak pernah mencorakkannya
Di saat mereka terpesong jauh dari garis pandu
Di saat mereka semakin hanyut
Kita begitu pantas menuding jari
Kita begitu lantang menghakimi
Tanpa kita bertanya apa dan untuk apa
Begitu tajam cacian yang kita hunjamkan
Tanpa kita mencari tahu mengapa dan sebab apa
Kalau saja mereka berpeluang bicara
Kita... kita yang selama ini jadi hakim
Akan duduk di kerusi terdakwa
Kalau saja mereka berani buka suara
Mereka akan berbalik menunjuk ke arah kita
Sambil berseru,
'Itulah mereka si Tua yang tak mampu menunjuk ajar!'
'Itulah mereka si Arif yang tak mahu menunjuk arah!'
Adakah kita sudah merasa benar
Meski jalan yang kita lalui adalah benar
Kita yang tua senantiasa lalai... seringkali alpa
Kita berlumba mencari bekal akhirat
Pagi, petang kita bertafakur di masjid
Siang malam ilmu ukhrawi kita kejar
Tanpa peduli di mana anak kita?
Ke mana cucu kita?
Dan... pabila mereka terlepas kemudi
Siapa yang dipersalahkan?
Patutkah kita mempersoalkan ini?
Saya setuju dengan penulis kerana saya juga bersependapat bahawa kita tidak harus menuding jari kepada remaja tetapi kepada golongan lebih dewasa yang sebenarnya mampu membimbing remaja daripada terpesong ke arah yang tidak diingini. Saya dapati bahawa sajak ini menarik kerana penulisnya menulis dari kaca mata yang berbeza, remaja bukan sebagai watak yang bersalah tetapi sebagai mangsa.
Berdasarkan karya itu, saya mempelajari bahawa, kita harus melihat sesuatu masalah itu daripada dasarnya. Penyebab masalah tersebut.
Apa yang pasti golongan remaja ini sepatutnya dinilaikan sebagai golongan yang bukan bermasalah tetapi dilanda pergolakan jiwa (dirundung pencarian identiti diri) yang berbagai.
Pada entri yang berikut, akan saya cuba kupaskan cerpen ini melalui empat persoalan yang sering menjadi sebahagian daripada pergolakan jiwa remaja:
1) Siapa aku?
2) Arah manakah akan kutuju?
3) Bagaimanakah dapat aku capai tujuan itu?
4) Aku akan jadi individu seperti apa bila dewasa kelak?
Berfikir sejenak
7:23 PM :D