Khatulisjiwa Khayalz



Friday, September 08, 2006


Jawapan bagi Entri Wajib yang kedua (Petikan Teks Remaja) - dari perspektif keprihatinan remaja kepada isu bangsa dan agama

Saya cukup tertarik dengan cerpen yang "Eeee... So malay" oleh seorang teman saya, Dayana Ismail yang telah memenangi hadiah tempat ketiga dalam peraduan Luahan Pena anjuran Perbayu suatu ketika dahulu. Cerpen ini telah diterbitkan dalam antologi Luahan Pena tersebut. Ianya menyentuh tentang watak seorang remaja yang mempersoalkan tentang sikap jirannya yang agak "jahil" tentang agama dan budaya Melayu. Penulis itu telah mengetengahkan tentang beberapa perkara seperti soal pakaian terdedah dan amalan seperti membeli nombor ekor yang diamalkan jirannya. Ironisnya, watak utama, Nana berusia 17 tahun itu ternyata merupakan seorang remaja yang berfikiran matang, rasional dan cukup mengambil berat soal bangsa dan agama, berbeza dengan persepsi saya tentang remaja yang saya katakan tadi. Dia juga merupakan seorang yang cukup kritis terhadap golongan orang Melayu (khasnya jirannya) yang memandang rendah kepada mereka yang mengamalkan budaya Melayu seperti dirinya sendiri. Keprihatinan yang dipaparkan watak remaja itu jarang kita lihat di kalangan remaja zaman sekarang. Sikapnya yang mengambil berat terhadap bangsa dan budaya Melayu itu dapat dilihat melalui petikan-petikan berikut:

Inikan baju kurung. Baju tradisional orang Melayu.
Kenapa 'eee' pulak?
Makcik kampong aje ke yang boleh pakai baju kurung?
Alangkah baiknya kalauEffa mampu mengerti.
Alangkah baiknya kalau Effa mampu menyedari bahawa yangdianggapnya "so Malay" itulah yang sesuatu yang patut dibanggakannya
Effa harus dididik mengenai agama dan budaya Melayu sejak kecil lagi. Jika tidak, apakah yang akan terjadi apabila dia dewasa nanti?
Sering aku simpati terhadap Effa, sepuluh tahun yang akan datang...

Cerpen ini mengetengahkan tentang isu identiti bangsa dan agama yang menjadi satu keprihatinan oleh remaja tersebut. Mungkin isu identiti merupakan satu topik yang agak berat tetapi cara penulisan cerpen ini yang cukup santai dan reflektif, juga dari perspektif seorang remaja, mungkin akan menarik perhatian pembaca dari golongan remaja, maka saya dapati amat sesuai untuk saya gunakan di bilik darjah nanti. Saya rasa mungkin agak menarik sekiranya isu identiti bangsa ini diajukan kepada remaja. Saya juga ingin tahu apakah resan mereka berkenaan dengan hal tersebut, sejajar dengan gejala-gejala yang sedang berlaku dalam masyarakat kita ini yang mana berbagai pengaruh negatif sedang berleluasa.Justeru, amat menarik jika kita mempersoalkan kepada remaja tentang pandangan mereka sendiri terhadap jati diri dan identiti mereka sebagai seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Apakah agaknya pandangan mereka terhadap identiti diri mereka sendiri dan evolusi masyarakat sehingga ke dewasa ini? Hmm, mungkin boleh menjadi satu perbincangan yang hangat sekiranya perkara sebegini diajukakan kepada remaja.

Oh ya, melihatkan pengaruh barat yang semakin berleluasa di kalangan remaja dewasa ini... Bagaimanakah agaknya pegangan remaja terhadap identiti bangsa ya? Adakah mereka yang "ditipu" oleh budaya asing itu akan terus "menipu" dan "tertipu" (3 teori yang pernah saya huraikan dalam salah satu entry yang lepas) sehingga kabur pandangan mereka terhadap budaya sendiri? Adakah pandangan mereka serupa seperti penulis dalam cerpen itu tadi? Saya cukup 'curious' untuk mengetahui apakah resan mereka... (",)

Selain itu, cerpen “Eeeee… So Malay” ini juga memaparkan persoalan-persoalan abadi yang menghantui remaja. Contohnya, isu identiti bangsa dan negara yang dipaparkan dalam cerpen ini barangkali berupaya mengungkap persoalan "Siapa aku?" di benak mereka. Dalam kegelisahan dan keghairan para remaja mengejar trend terkini, terutamanya pengaruh barat dari segi pakaian, budaya dan sebagainya, mereka kadangkala terlupa akan jati diri mereka sendiri sebagai seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Watak Nana yang berusia 17 tahun dalam cerpen itu misalnya mempersoalkan tentang kebanggaannya menjadi seorang anak Melayu yang beragama Islam. Oleh kerana seringkali diejek dan dipersoalkan jirannya, Effa yang menganggap orang yang mengamalkan budaya Melayu itu kolot, Nana sering menjadi marah dan tidak bersetuju dengan pandangan jirannya itu, sejajar dengan pendiriannya yang teguh kepada cintanya terhadap budaya dan agamanya. Namun demikian, pada masa yang sama, saya berasa bahawa walaupun pada luarannya Nana kelihatan seperti yakin dengan pegangannya, tetapi apabila seringkali berdepan dengan sikap jirannya itu, dia semakin sangsi akan pendiriannya itu dan mempersoalkan kepada dirinya sendiri, seolah-olah dia sendiri tidak pasti akan pegangannya. Justeru itu, timbulnya persoalan "Siapa aku?" dalam cerpen ini. Atau lebih tepat lagi mungkin - Siapakah aku yang sebenar-benarnya aku? Apakah aku berpura-pura dengan keberadaanku? dan Apakah apa yang ku kata adalah apa yang terkota dan percaya di dalam jiwa?


Arah Manakah akan kutujui? Bagaimanakah dapat ku capai tujuan itu? Aku akan jadi individu seperti apa bila dewasa kelak?

Di samping itu, sikap jirannya yang mengambil mudah soal budaya dan agama turut membuatkannya mempersoalkan kembali tentang peranannya, sama ada dia patut dan layak menegur dan mengkritik sikap jirannya itu. Pada beberapa ketika, apabila dia mendapati tindakan jirannya kurang wajar, contohnya seperti pakaian Effa, dia kadangkala ingin menegur jirannya itu namun hasratnya tidak kesampaian kerana masih teragak-agak dalam mempersoalkan kedudukannya dan tujuannya. Malah akhirnya beliau hanya mampu simpati dan melihat sahaja sikap jirannya itu. Dalam konteks cerpen ini, tujuannya yang sebenarnya harus dikecapi watak Nana ialah untuk berpegang kepada jati dirinya dan menegur sikap jirannya jika perlu. Namun demikian, keraguan yang timbul di benaknya ekoran kedudukannya yang hanya sebagai seorang remaja (yang seringkali tidak didengar pandangan mereka) membuatkannya tersasar daripada tujuannya itu.

Untuk mengatasi keresahannya itu, beliau seringkali mengongsi pandanganya kepada ibunya walaupun tidak terus bertindak melakukan sesuatu. Selain itu, Nana bijak dalam menggunakan sikap buruk jirannya itu sebagai iktibar bagi dirinya sendiri agar dia sendiri tidak terjerumus dalam gejala seperti itu (berpakaian mendedahkan aurat, membeli nombor ekor dan bawa lelaki yang bukan muhrim pulang ke rumah). Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sempadan menurut konteks ini adalah untuk meningkatkan diri supaya menjadi insan yang lebih baik dan dihindari dari segala yang buruk.



Berfikir sejenak 5:25 PM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com