Monday, November 13, 2006
Warkah untuk Hamka bagi karya Di Bawah Lindungan Kaabah
Salam sejahtera saya ucapkan buat Saudara Hamka yang amat saya hormati.
Saudara, sememangnya saya rasa kedinginan. Suatu kedinginan yang menusuk kalbu. Kedinginan kerna ungkapan karya Saudara itu telah melewati jiwa ini, sedingin air di kali. Suci, dingin tetapi juga menyegarkan.
Terlalu sukar rasanya ingin saya ungkapkan segala madah bicara ini. Hanya untaian rasa yang berkelana mencari destinasi entah ke mana. Kesayuan yang terasa bagai membebaskan segala rasa yang selama ini terbuku di ruang minda. Saya bagai pengembara makna diri yang kini telah terlihat cahaya yang memberi arah yang belum pernah disua.
Saudara, sejurus saya menyelami jalinan cinta antara Hamid dan Zainab, saya bagai telah bersua dengan satu gambaran cinta yang saya cari selama ini – luhur, peribadi dan bebas ditiup bayu takdir Illahi. Saya kagum dengan kebijaksanaan saudara menggambarkan keabadian cinta yang sebenar dan sejati itu. Ternyata cinta antara Hamid dan Zainab itu merupakan satu bukti tentang kehadiran cinta yang berputik tanpa diduga. Apabila ia hadir, tiada apa yang mampu menghalangnya, sekalipun jiwa itu cuba membasmi segala rasa yang mungkin dirasakan tidak wajar hadir. Seperti kisah Hamid yang tahu bahawa dia tidak layak bagi Zainab, tetapi apapun yang dilakukannya, sekalipun dia cuba lari dari rasa itu, ternyata dia tidak dapat melawannya, malah ia bernaung di sudut nalurinya sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir. Kehadiran cinta itu juga menaungi di sudut naluri dua insan itu dan menggamit kesepian yang sayup membina fatamorgana di hati. Saat di mana si Fulan menyimpan rasa cinta kepada si Fulanah dan si Fulanah pula ternanti-nanti dalam satu penantian yang menyeksakan.
Sememangnya dapat saya selami rasa kehilangan yang wujud dalam diri Hamid, di saat pemergian insan-insan yang disayanginya, Engku Haji Jaafar dan kemudian ibundanya yang tercinta. Sepertimana yang dilalui itu, saya juga pernah rasa kehilangan. Kehilangan bapa yang amat-amat saya sanjungi. Kehilangan yang sehingga kini tetap meninggalkan ruang kosong yang di sudut atma.
Dan ya Saudara, seperti juga Zainab, saya juga pernah kecewa kerana Iradat yang terkota tidak seperti yang dicita. Seperti Zainab, saya turut merasakan luka kerna ketentuanNya tak seperti yang tercipta dalam mimpi. Kerna si Dia telah memendam rasa yang sewajarnya diulit dengan tegarnya. Kegagalannya memperjuangkan cinta, telah menerbitkan natijah diwarnai kecewa kerna kasih yang didamba itu telah hilang akhirnya dibawa bayu Qudratnya.
Saudara, maafkan saya akan apa yang bakal saya luahkan ini. Izinkan saya mengungkap sekelumit rasa benci yang terbit di sudut naluri ini akan ketidakwajaran tindakan Hamid itu! Kerna dari satu segi, Hamid itu PENGECUT! Pengecut kerna tidak berani melakukan seperti kata hatinya. Ya, memang keluhuran budinya itu telah membuatkannya sanggup berkorban segala demi rasa tanggungjawabnya kepada Zainab dan keluarganya. Ya, Hamid terhutang budi. Ya, dia ingin Zainab bahagia. Tapi Saudara, bukankah cinta itu milik setiap insan? Sejauh mana perjuangan seseorang itu akan menentukan natijahnya. Walau.. Ya saya akui bahawa di akhirnya, hanya Dia Yang Esa mentakdirkan segala. Tapi... tapi tapi... Hamid itu pada hakikatnya mempunyai kuasa sebagai seorang lelaki! Manakala Zainab pula sebagai seorang wanita, tidak punya upaya berkata apa kerna sebagai insan yang lemah, kendalanya ialah ketidakupayaannya mengejar cinta. Dan akhirnya terpaksa melihat sahaja keputusan yang termaktub.
Ya, memang saya akui, tarian tinta Saudara telah meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya. Sebelum ini belum pernah manik-manik pilu itu mengalir di pipi tatkala membaca sesuatu karya, tapi ternyata Saudara telah berjaya. Ketragikan cinta yang tidak kesampaian antara dua insan itu telah menyentuh sanubari saya. Semarahnya saya akan ketidakupayaan novel ini dalam melaksanakan poetic justice yang didamba, sesebak juga saya rasakan, terusik dek untaian kasih suci yang luhur, indah, hingga ke hujung nyawa.
Permasalahan yang Saudara timbulkan turut jua menemukan saya akan erti perjuangan dan pencarian sumber semangat dan kekuatan. Pabila kecewa, manusia hilang segala. Pabila kecewa, sengsara menggamit duka. Namun bagaimana kedukaan itu ditangani si penderita penentu jalan yang bakal ditemuinya, sama ada cahaya atau gelita. Hamid telah bertemu dengan CahayaNya, di bawah lindungan kaabahlah tempatnya mengadu segala duka yang berkelana. Hamid ternyata bangkit semula dengan semangat yang baru walau rasanya pada Zainab tetap bernaung di nalurinya. Zainab pula pada awalnya bertemu gelita pabila cinta yang terpendam terkulai dek impian yang hanya tinggal mimpi, namun cahaya mula menyelinapi dunianya tatkala berita Hamid diperolehinya.
Estetika pena Saudara telah mengungkap madah bicara yang mampu menawan jiwa. Saya sebenarnya cukup kagum dengan cara saudara menggunakan kekata, lenggok bahasa Saudara dalam mengungkapkan tiap madah bicara. Antara pasangan kekasih itu, antara dua jiwa yang mengharap itu, antara pertalian ibu Hamid dan Hamid, antara rasa simpati watak "saya" sendiri terhadap Saudara sendiri. Segalanya digambarkan dengan penuh santun, mulus, menyentuh rasa yang mengungkap sejuta emosi.
Membaca karya Saudara membuatkan saya lebih mengerti akan makna suratan takdir, suatu perealisasian hidup yang ditentukanNya dengan penuh misteri dan sukar dimengerti. Walaupun cerita diakhiri dengan ketidaksampaian cinta antara dua jiwa itu, keabadian cinta itu juga tidak mustahil disatukan di SyurgaNya. Luahan pena Saudara ternyata telah membuatkan saya celik akan kehadiran Cinta, penentu segala, cinta yang satu, tiada bandingan, iaitu cinta kepadaNYA.
Terima kasih saya ucapkan buat saudara di atas peluang merangkul segala rasa ini. Dalam mengalirnya airmata pilu, atma saya ternyata turut tersenyum bermandikan cahaya revelasi ini.
Ungkapan kekata ikhlas daripada,
Ku
---------------------------------------------
Sidetrack...PasrahCahayaNya melimpahi semesta, indahnyaMilikmu milikkuBerbezaTakkan samaYang pasti, segalanya milikNyaSekalipun aku meratap,mencemburui cahaya rangkulanmutiada yang bisa tercapai kudratkuSekalipun aku mengharap,jika bukan itu yang tersuratpilu kan memalu juaDi sini aku hanya bisamenadah tanganberserah segaladitemani bisikan nalurikumerangkul sinarku, cahayaNyadalam doaKuHanya kepada--Nya
Berfikir sejenak
4:57 PM :D