Khatulisjiwa Khayalz



Wednesday, November 28, 2007


Butakah Cinta, tv1
---
Mungkin ruangan ini tidak dibaca sesiapa pun, namun sengaja saya meneruskan kembali untuk meng"update" blog ini sebagai suatu rakaman pengalaman yang saya lalui. Apa yang saya lihat, dengar dan rasakan. Namun, berbanding dengan Khayalz yang pernah saya gunakan suatu ketika dahulu ataupun Khatulisjiwa ini sendiri, blog ini lebih bertujuan untuk merakamkan perspektif saya sebagai seorang penonton, tidak kira apa yang ditontoni dan di mana pengembaraan saya, meskipun sekadar yang ditontoni di kaca tv sahaja, bukan untuk merakamkan kehidupan seharian saya (yang saya rasa tidak mempunyai apa-apa yang menarik pun hehe) ataupun pandangan saya mengenai sastera remaja (tujuan awal Khatulisjiwa dimulakan dahulu - blog sastera bagi portfolio modul kuliah saya ;D).

Berbelah bagi juga sebenarnya, sama ada untuk "menghidupkan" kembali budaya memblog ini atau tidak, kerana berdasarkan pengalaman, keseronokannya sering menjadi faktor yang membuat saya taksub dan kadangkala mengabaikan kerja-kerja yang sebenarnya jauh lebih penting, seperti melaksanakan tugasan atau mengulangkaji pelajaran. Macam tak ada kerja lain! Tetapi setelah difikir-fikirkan kembali, saya rasa ada baiknya kalau saya meneruskan platform ini untuk merakamkan sekurang-kurangnya resan saya berkenaan acara-acara menarik alam bidang kesenian, kesusasteraan Melayu, dan sebagainya. (selain faktor masa yang terluang di kala ini pada cuti sekolah sebegini). Dan jua agar saya ingat dan mengimbas kembali segala apa yang pernah menyinggah minda dan jiwa saya. Haha barangkali ini semua hanya alasan untuk saya kembali memblog :D Ahh asalkan kau bahagialah
---

Baik, ketika ini, saya sedang khayal menonton drama berepisod Butakah Cinta di tv1. Suatu lagi drama berepisod yang telah mampu memancing minat saya dan ibu untuk terus menontonnya. Apa tidaknya, kalau tidak kerana drama ini, mungkin jam 11 pagi itu saya gunakan untuk menyambung mimpi yang tergendala atau mungkin juga saya tidak ada di rumah, entah ke mana agaknya. Justeru, keterujaan untuk menanti jam 11 pagi (atau lebih tepat lagi 11.05pagi selepas Warta) itu selalunya memberikan saya motivasi untuk bangun tidur awal, mengemas rumah dan melaksanakan segala yang sewaktu dengannya, supaya apabila drama itu bermula, saya sudah bersedia di hadapan tv dan Khayalz kembali menerawang dalam dunianya yang tersendiri. Heeheehee.


Mengapa demikian, kerana sekali lagi, ceritanya tentang cinta tiga segi Erra (Rita Rudaini), Hanif (Akashah) dan Alim (Rusdi Ramli) yang mewarnakan pergolakan yang bagai tiada jalan keluarnya, sedangkan tajuknya sendiri menggambarkannya eh? Dipendekkan cerita apa yang membuatkan saya teruja untuk mengikuti episodnya dari sejak tayangan pertama di Suria dahulu, sehingga diteruskan dalam Season 2 di tv1 ini (dan kadangkala saya sanggup menontonnya lagi di Suria pada Ahad malam sekali lagi, walaupun tayangan ulangan) ialah disebabkan oleh satu sebab utama - The Innocence of Cinta. Kita, manusia ni dah melalui terlalu banyak pergolakan dan drama yang lebih dahsyat dalam hidup dan telah menyaksikan berbagai cerita di tv ataupun pawagam, sehingga terlupa akan kewujudan cinta yang hakiki - yang luhur dan tulus. Cuma manusia sahaja yang menodanya dengan sikap.

A jatuh cinta dengan B. Titik.

Tidak kiralah jika A jatuh cinta pada B kerana rupa, harta, atau kerana kata-kata puitisnya, atau jika B tidak dapat mencintai A kembali kerana perbezaan darjat atau ingin berkorban cinta demi kasihnya kepada A. Atau mungkin juga cinta A dan B terhalang kerana kehadiran C. Walau apapun halnya, CINTA wujud. Seperti dalam drama ini, watak Erra jatuh cinta kepada Alim, kerana sejak awalnya, cinta terbit tatkala membaca kata-kata puitis yang ditulis Alim dalam kad-kad yang disertakan dalam jambakan bunga yang diberikan tanpa menyertakan namanya sebagai pengirimnya. Perasaan Alim kepada Hanif pula sememangnya merupakan rasa cinta yang luhur, memuja seorang wanita yang kelihatannya memiliki segala - kecantikan, kebijaksanaan dan sebagainya. Hanif pula menjadi penghalang apabila disebabkan oleh cintanya kepada Erra, dia telah membohongi Erra, mengatakan bahawa dialah yang menghantar bunga-bunga dan kad-kad tersebut (namun demikian, jika difikirkan, sebenarnya ini juga berlaku tanpa disengaja). Apabila Erra mendapat tahu bahawa Alim orang yang sebenarnya, hatinya mula terpaut kepada Alim dan mula menyangsi kejujuran Hanif.


(Kini, keadaan dicelarukan apabila kini, Alim yang telah membawa diri ke kampong, mula dicintai oleh seorang gadis kampung bernama Midah yang pada masa yang sama dicintai Yusuf, sahabat Alim.)

Jika dipertimbangkan semula, sebenarnya terdapat dua ekstrim, sama ada SEMUA watak-watak itu bodoh atau semua watak-watak itu menghayati cinta yang mereka masing-masing percayai. Pokoknya, Tiada sesiapapun yang bersalah sebenarnya. Erra bingung dan tidak dapat menerima cinta Hanif dengan tangan terbuka dan masih terkejar-kejar menanti luahan cinta daripada Alim semata-mata kerana dia inginkan Kejujuran sebagai warna utama dalam rona-rona cinta unggulnya. Alim pula telah sanggup memendam rasa cintanya yang sebenar dan berkorban untuk menjauhkan diri dari Erra agar tidak menjadi penghalang antara Erra dan Hanif, lagi pula dia rasakan dirinya tidak layak dengan Erra. Justeru bagi Alim, cintanya ialah Pengorbanan semata-mata. Hanif pula, ya jika dilihat dari sudut permukaan, mungkin Hanif telah mencelakan cinta Erra dengan melakukan tindakan-tindakan yang membuatkan Erra menyangsi kejujurannya, namun mungkinkah cinta bagi dirinya ialah Usaha. Dia tidak kira sama ada apa yang dilakukannya benar atau salah, yang penting, dia tahu dia cintakan Erra, dan ingin memilikinya, dia tidak mahu Erra menjadi milik orang lain.

Semudah itu sebenarnya kan.

Cinta ni mudah sebenarnya, cuma setiap orang mempunyai definisi yang berbeza yang kadangkala bercanggah dengan pandangan orang lain, sehingga natijahnya, berlaku konflik.
Cinta bagi diri saya?
Cinta bagi Khayalz ialah Khatulisjiwa Hakiki
- Rasa luhur yang wujud pada Khatulistiwa Jiwa, garisan azali antara fantasi dan realiti. Yang sebenar-benarnya. Yang Ikhlas.

Cinta yang bakal terkota hanya pabila khayalan bukan lagi yang diilusikan.

:)

Salam Khayalz.

Labels:




Berfikir sejenak 1:27 PM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com