Khatulisjiwa Khayalz



Wednesday, November 28, 2007


Wangi Jadi Saksi , 10 November 2007, Esplanade Theatre Studio

Kata-kata cinta yang dirakamkan tempoh hari sebenarnya milik Dang Wangi, kekasih Hang Jebat yang telah tewas dalam satu perjuangan penuh berkonflik dan kontroversi. Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan ungkapan bahawa Hang Jebat telah tewas di tangan Hang Tuah, sahabatnya sendiri, dalam pementasan Wangi Jadi Saksi pada 8 - 10 November yang lalu (Esplanade, Pesta Raya 2007) pula, dicerahkan bahawa ianya hanya satu andaian sahaja, sedangkan perspektif Dang Wangi, yang telah menyaksikan segalanya dengan mata kepala dan mata hatinya sendiri telah menjunjung hakikat bahawa bukan Hang Tuah yang telah membunuh sahabatnya sendiri.




Saya bertuah kerana telah dapat turut serta menyaksikan pementasan teater tersebut. Suatu pementasan yang bukan sahaja unggul dari segi lakonan tetapi juga dari segi penulisan skripnya. Saya tertarik dengan untaian kata-kata Dang Wangi, memaparkan dengan luhurnya kata-kata hati seorang wanita yang sememangnya tidak mampu menafikan kata-kata hatinya dan keyakinan yang ada pada dirinya, cuma yang membataskannya ialah kedudukannya sebagai seorang Wanita. Barangkali jika dilihat dari kaca mata feminisme, watak Dang Wangi yang dipaparkan itu diperlihatkan sebagai seorang pejuang, bukan dalam erti kata mempertaruhkan kekuatan tetapi dalam menegakkan apa yang dipercayainya benar. Deanna Yusof telah menghayati wataknya dengan baik, sesuai dengan mimik muka dan ekspresi yang berkesan. Cuma tidak dinafikan, saya terfikir, dalam banyak-banyak pelakon wanita, mengapa agaknya beliau menjadi pilihan ya...


Satu perasaan yang tidak dapat saya nafikan ialah ekspresi "oh si dia ni rupanya!" tatkala menyaksikan watak Pateh, lakonan Khalid Salleh, menikam Hang Jebat dari belakang (baik dari segi makna denotatif mahupun konotatif ;)). Watak yang dibawa Khalid Salleh serasanya merupakan watak yang paling ketara dan telah berjaya dibawa dengan baik sekali, malah yang terbaik sekali saya rasa. Lafaz kata-kata yang menyelindungkan maksud terselindung dan jelas ke"villian"annya, mengagendakan penumpasan Hang Jebat, demi kepentingan dirinya (mengharapkan sesuatu dari sultan? menginginkan Dang Wangi? hmmm...) mahupun bermotif menyuntik melagakan persahabatan unggul kedua-dua Hang itu.


Watak-watak lain seperti Hang Jebat, Hang Tuah juga tidak dapat tidak harus diakui mendalamnya darjah penghayatan dan ketangkasan menghidupkan watak-watak itu. Lakonan Rafaat Hamzah, pelakon tanahair bukan suatu yang menghairankan. Saya sendiri, tatkala mengetahui bahawa beliau juga turut serta dalam pementasan tersebut, pasti lakonan yang baik akan berjaya direalisasikannya. Namun watak Hang Tuah, lakonan Azman Hassan, menurut teman saya Z yang bersama saya menonton, pula menganggap bahawa lakonannya kurang terserlah. Lagi pula, dikatakan bahawa beliau kurang dikenali berbanding pelakon-pelakon yang lain. Satu persoalan yang timbul di benak saya pula ialah apa dan di mana Hang Tuah semasa tikaman itu berlaku, jika bukan dia yang melakukannya..?


Dan tidak dilupakan juga pada watak Masa yang dibawa Sabri Yunus, walaupun kemunculannya hanyalah pada awal dan akhir cerita, namun kesan yang dibawa dialog bijaksana olehnya, turut mengulit fikiran sejenak. Ternyata apapun jua kontroversi, perdebatan tentang siapa wira Melayu yang sebenar dan siapa penderhaka, sama ada ianya dari perspektif siapa pun jua, Masa yang pada hakikatnya menjadi saksi dan menghakimi segala. Namun perubahan masa juga menjadikan sesuatu itu semakin bertalu-talu kebuntuannya, pabila yang pernah dicerita diulangbicara berkali-kali.


Walau bagaimanapun dan apapun, tepukan gemuruh di akhir pementasan tersebut merupakan rakaman sambutan hangat yang membuktikan kejayaan pengarahan U-Wei Hj Saari, memang selayaknya diperolehi.


"When everything is dark, I will think of you my love. When this self does not feel any more, while dreaming while slumbering, I will think of you my love. My love only comes once in my lifetime." - Dang Wangi, Wangi Jadi Saksi, 10 November 2007, Esplanade Theatre Studios (maaf, kata-kata ini dalam Bahasa Inggeris keran saya tukil secara langsung dari risalah yang diberikan)


:)

Salam Khayalz

Labels:




Berfikir sejenak 12:09 PM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com