Thursday, December 27, 2007
Pondok 2000, Teater Ekamatra, 23 Disember 2007, 8 malam, The Substation Gallery
Keputusan di saat-saat akhir yang saya rasa memang wajar dituruti kerana pengalaman yang dialami tempoh hari tidak mungkin dapat diperolehi dengan mudah. Saya rasa beruntung kerana tidak terlepas peluang menyaksikan pementasan luarbiasa itu bersama Z. Mujur saya menonton Suria Segar dan mujur Z juga pernah terdengar iklannya di radio.
Sebenarnya tujuan sebenar kami beriya-iya benar ingin menghadiri pementasan tersebut ialah disebabkan oleh satu nama yang turut menjayakan pementasan tersebut - Gene Sha Rudyn. Kami begitu terkesan dengan lakonan hebatnya dlaam Anak Bulan di Kampung Wak Hassan pada 30 Jun 2007 yang lalu dan sememangnya ternanti-nanti untuk menyaksikan beliau beraksi lagi (dengan secara tidak sengajanya macamdah jadi peminat pula ya? hehe). Apa tidaknya, lakonannya yang membawa berbagai-bagai watak dengan penghayatan unggul dan perealisasian watak-watak yang begitu menyerlah, membuatkan kami tidak dapat melupakan lakonan tersebut. Berbalik kepada pementasan Pondok 2000 itu, ya, justeru apabila saya terlihat nama beliau sebagai salah satu artisnya, dengan segera saya mengajak Z untuk menonton.
Setibanya kami di Substation, kelihatan Alfian Saat dan beberapa peminat teater lain di meja penyambut tamu yang menerima kedatangan kami dengan ajakan "Write your name in Jawi" dan kami diberikan pena dan kertas pelekat putih. Sambil menulis, saya sempat memasang telinga kepada seorang remaja wanita yang berkata: "I don't know Jawi", lantas dia diberikan sebuah carta yang mentransliterasikan huruf-huruf rumi kepada jawi, saya tidak sempat melihat hasilnya, tapi saya akui, hati kecil saya tertawa kecil dan berkata: "Pandai betul si Alfian Saat ni, dapat juga kita lihat berapa ramai golongan muda dewasa ini yang tahu menulis dalam tulisan jawi." Mungkin terselindung sedikit keangkuhan di situ, apabila saya dan Z begitu teruja memandang sekeliling dan melihat-lihat name-tag-name-tag Jawi lainnya yang tertampal di dada para hadirin yang sama-sama sedang berligar-ligar di ruang masuk sambil menanti pementasan bermula. Ada yang pendek dan ada yang panjang berjela namanya, ada yang namanya kami tidak berupaya mengenalpasti langsung, ada yang ditulis dengan cara-cara unik yang tersendiri (sin-alif-ya-fa-wau-lam yang tidak bersambung hehe) dan kami juga tertarik dengan cubaan hadirin bukan Melayu yang turut menuliskan nama mereka dalam tulisan jawi. Syabas Alfian Saat di atas idea menarik itu! Sudah pastinya objektif beliau untuk "explore the popularity and subsequent decline of Jawi writing" telah tercapai.
Oh ya, satu perkara yang saya dapati berkenaan orang-orang teater ni ya, mereka semuanya lebih selesa berbahasa Inggeris ya... Cuma saya tabik usaha mereka untuk terus menghasilkan karya-karya dalam Bahasa Melayu yang hebat menampilkan perspektif-perspektif yang hebat. Baik, jadi apabila kami dijemput oleh Alfian sendiri ke tempat pementasan diadakan, saya begitu ghairah untuk menyaksikan sama ada 18 dolar kami itu berbaloi atau tidak. Dan oh ya, sebaik sahaja kami menerima risalah ringkasan pementasan tersebut, kami sebenarnya sedikit kecewa kerana rupa-rupanya aksi Gene yang kami tunggu-tunggu itu sebenarnya tidak akan kami perolehi bagi pementasan tersebut kerana beliau hanya merupakan salah satu pengolah teater dalam pementasan tersebut dan olahan beliau itu pula dipentaskan oleh seorang pelakon teater yang lainnya. Sebelum saya menyentuh tentang pementasan itu sendiri, ingin saya terangkan sedikit tentang idea keseluruhan pementasan Pondok 2000 itu.

Ianya merupakan sebuah persembahan ala festival teater kecil yang menggabungkan tarian, lakonan dan muzik sebagai penyalur dialog-dialog hasil buah fikiran karyawan-karyawan Teater Ekamatra. Pondok 2000 ini khasnya bertujuan untuk menjelajahi "Islam and Performance" sejajar dengan wujudnya insititusi pondok pada zaman dahulu dalam menyampaikan ajaran Islam kepada para pelajarnya. Sedikit tukilan:
"Performances are encouraged to not only engage with questions of form, but also of content and thematics. Various themes that will be explored for the project include: Islam and modernity, de-stereotyping Muslims, traditionalism and reformism, and the interaction between religion and culture."
Hmmm...
Pondok 2000 terdiri daripada 6 pementasan yang masing-masing melaksanakan tema dan isu yang tersendiri walaupun secara keseluruhannya mendukung tema berkenaan Islam dan kemodenan. Saya paling tertarik kepada pementasan pertama - Genap 40 (oleh Irfan Kasban dan lakonan oleh Siti Khalijah Zainal - Melur Tahu Nahu dan Arif Borhan Said). Lakonan watak utama, Hawa, yang mantap, dan mampu membuat para penonton tergumam menghayati setiap patah dialog yang diucapkannya dengan jelas dan ekspresi yang bersahaja tetapi mampu mengesankan. Tentang takdir, rezeki, iman dan ajal yang ditentukan Tuhan. Z mempertikaikan soal pemaparan watak-watak Hawa dan Malaikat Izrail, namun saya lebih tertarik dengan pemikiran mendalam yang dipaparkan, khasnya dalam dialog ini:
"Yang cukup itu hanya bayangan."
Pementasan kedua - Masjid Nur (oleh 'Asyurah Ismail dan lakonan oleh Syed Harun Bin Taha Alhabsyo dan Aslinda Bte Mohamad Saleh) pula memaparkan teknik latar dan ucapan dialog yang unik, tetapi bagi kami, perspektif berkenaan hak dan kedudukan wanita dalam Islam, khususnya dalam pementasan ini - niat seorang wanita untuk mendirikan sebuah masjid khas untuk wanita, bukan merupakan suatu yang baru dan agak "biasa". Bagi saya sendiri, perihal wanita dalam Islam, sejauh mena sekalipun ianya dipersoalkan dan dimanifestasikan dengan apa jua cara sekalipun, natijahnya tetap sama. Bukan satu keluhan ya, tapi jujur saya katakan bahawa ianya tidak perlu dipertikaikan sama sekali, memang demikian seadanya, malah apa adanya itulah yang menjadi hak keistimewaan bagi wanita, justeru apa yang ingin disibuk-sibukkan lagi?
Kemudian kami dibawa ke tingkat dua, ah pementasan yang ketiga inilah oleh Gene Sha Rudyn! Judulnya, Mimpi Marhaban dan dilakonkan oleh Rizam Hassan. Yang ini pula saya rasa kekuatannya pada teknik pengenalannya di awalnya. Setibanya kami di bilik pementasan tersebut, kami disuruh bersila di atas tikar-tikar mengkuang (ala mengaji di pondok) dan lelaki yang duduk di belakang itu tanpa disangka-sangka pula ialah pelakon utamanya! Kami sangka dia hanya salah seorang daripada hadirin. Secara ringkas, pementasan ini pula tentang amalan Berzanji dalam masyarakat kita, berkenaan maksud di sebaliknya, walaupun barangkali agak sukar digarapi. Cuma, ayat pertama yang diujarkan watak utamanya saya dapati amat menarik, perhatikan:
"Kalau lu tengah kebuluran, ada orang datang kasi makanan, lu kesah? Lu kesah siapa dia?"
Keempat, Baju Butterfly, oleh Fezhah Maznan dan dilakonkan oleh Adila Bte Mohamed Mohckeram. Hmm... Yang ini... Saya tidak berapa gemar. Walaupun saya seorang peminat butterfly dan faham akan ekspresi spiritualisme berhubung dengan mekarnya cinta kepada Yang Maha Agung (sejajar dengan inspirasi yang diekspresikan dari Masnawi Rumi), saya kurang senang dengan Cara ianya dipamerkan. Bagi saya, banyak lagi cara ianya dapat dimanifestasikan dengan lebih indah, sayangnya pengolah pementasan tersebut mengekangnya setakat itu sahaja. Tapi siapalah saya untuk menilai, aktivits teater pun bukan, pakar seni pun bukan.
Yang kelima, A War (ditulis dan dipentaskan oleh Johari Abdul Aziz) pula memaparkan kisah seorang banduan yang mengeskpresikan pemikiran-pemikirannya tentang natijah amalan, peristiwa dan kerpercayaan dalam beragama. Walaupun lakonannya mantap, saya rasa ianya tidak setanding lakonan Gene (chey hehe), justeru kalau nak bezakan, lakonan Johari Abdul Aziz itu biasa-biasa sahaja. Tetapi dari segi pemaparan perspektif dalam karyanya itu, saya rasa ia wajar ditabik walaupun Z dapati kesinambungan antara peralihan dari satu babak ke satu babak yang lainnya kurang menyerlah.
Dan yang keenam dan yang terakhir ialah SS, oleh Najib Soiman dan dipentaskan oleh Mohd Khairun Bin Harun, Muhd Fadhli Bin Ramli, Abdul Hafeez Bin Zaini dan Najib Soiman sendiri juga. Saya cukup terhibur dengan pementasan ini ekoran unsur muzik (persembahan sekumpulan pencaragam nasyid) yang ditampilkan sebagai unsur utamanya. Dalam hiburan dan kelucuan yang dipaparkan, ia tidak kurang hebat dalam menyampaikan pemikiran yang tersendiri, mempersoalkan penyebaran ketauhidan Islam melalui muzik sedangkan makna sebenar kurang dihayati. Saya rasa ianya menampilkan satu sindiran tajam walaupun para penonton tidak henti tertawa sepanjang persembahan mereka. Suara yang lunak, harmoni yang menakjubkan, mainan muzik yang mengasyikkan, busana dan perhiasan diri yang unik, menambahkan lagi kehebatan lagu-lagu yang lucu dan merepek tetapi menarik.
"Lagi-lagi sufi, I am so sorry..."
"Is ok everything?"
Hahaha!
Fuh... Dengan perkongsian yang panjang lebar itu, saya rumuskan bahawa Pondok 2000 wajar dianggap sebagai sebuah pengalaman yang baru dan menarik bagi para peminat teater. Walaupun saya akui bahawa tempoh hari, sehabisnya menonton pementasan tersebut, saya rasa bahawa terdapat semacam unsur "mocking" terhadap penghayatan dan erti "what it means to be a Muslim in Singapore" (saya tukil), kerna persoalannya ialah, apakah mesej yang ingin disampaikan dan ditinggalkan dalam minda para penonton baik yang beragama Islam dan bukan Islam? di manakah faktor kemurnian di situ? seolah-olah para pengolahnya yang saya pasti terdiri daripada orang Melayu-Islam sendiri, mengejek agamanya sendiri, tapi sebahagian lagi pada diri saya meyakini bahawa motif pementasan tersebut semata-mata untuk "provoke the audience" dalam menilai "difficult questions".
Tahniah kepada Teater Ekamatra dan saya nantikan pementasan gah yang seterusnya!
Salam Khayalz :)
Labels: Teater
Berfikir sejenak
3:04 PM :D