Khatulisjiwa Khayalz



Friday, February 29, 2008


Ayat-ayat Cinta
Habiburrahman El Shirazy


Perasaan curious saya sering sahaja membawa saya ke tempat-tempat yang paling tidak disangka. Kali ini saya dipertemukan lagi dengan dunia Cinta. Novel Cinta yang luar biasa.

Pada awalnya, saya terbaca di blog seseorang yang ada menyebut tentang novel ini. Justeru seperti biasa jari-jemari saya akan bertindak pantas, terus mencari jalan bagaimana saya boleh memperolehi peluang meraihnya. Saya menemukannya di sebuah lelaman internet tetapi baru sahaja membaca dua baris, saya semakin yakin kenyamanan untuk membacanya secara bercetak jauh lebih indah. Mujur ditemui di perpustakaan, walaupun terpaksa direserve dan menanti.



Sebaik sahaja memperolehinya, saya membelek-belek komentar para pembaca yang terdapat di dalamnya dan juga pada kulit belakang. Memang amat memberangsangkan sekali komentar-komentarnya, tetapi saya perlu mengalaminya sendiri. Sekilas pandang, (pada tajuknya dan permulaannya) sahaja saya mula membina andaian – ah ni mesti macam novel2 keagamaan yang selalu tu. Ya, tidak saya nafikan, selalunya mebosankan dengan unsur didaktiknya yang menguasai. Tetapi Ayat-ayat Cinta berbeza.

Bahasanya, walaupun masih kelihatan keIndonesiaannya, ianya tidak menghambat minat, malah mudah dibaca dan tidak tersekat-sekat dengan perkataan-perkataan yang tidak difahami. Sekalipun terdapat kekata dalam Bahasa Arab, German atau Inggeris, pasti akan diterjemahkan dengan jelas dengan segera. Tidak lama sejurus mula membacanya sahaja saya sudah mula tertawan.

Saya memang senang tewas dengan karya-karya ”page-turners” yang mengungguli dari sudut gaya penulisan atau stail penceritaannya. Saya sedaya mungkin, cuba untuk membaca apa sahaja karya dalam apa sahaja tema atau perspektif, tetapi yang penting ialah sama ada ianya mampu mengumpan saya untuk terus membaca. Dan novel ini ternyata mampu semampu-mampunya. Buktinya, tugasan-tugasan saya terbengkalai, buku motivasi Adam Khoo yang sedang saya baca diletak ke tepi.

Saya kagum dengan watak utamanya, Fahri. Kagum. Kagum bukan sahaja dengan ilmunya dan akhlaknya tetapi juga bagaimana dia mengendalikan dan menguasai dirinya agar dapat menjadi orang yang paling bermakna dan berguna bagi Hidupnya Sendiri. Yang saya pelajari dan berharap dapat mencontohi ialah keupayaannya untuk Fokus. Fokus dengan matlamat yang ingin dikecapi. Bukan sekadar cita-cita jangka panjang, tetapi juga cita-cita atau lebih tepat lagi matlamat yang ingin dilaksanakannya untuk hidupnya pada setiap hari. Seperti katanya,

Ya, hidup ini – kata Ahmad Syauqi, sang raja penyair arab – adalah keyakinan dan perjuangan. Ms 66


Dia memantulkan kesungguhannya dengan membuat sebuah Peta Hidup yang dilakarkannya dan ditampal di hadapan meja belajar sebagai motivasi. Peta Hidupnya jelas dan spesifik. Apa yang ingin dikecapinya setiap tahun. Malah, setiap bulan juga (jadual yang diatur dengan baik dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya). Saya pernah beberapa kali sebelum ini mencuba apa yang dilakukannya itu, tetapi selalunya bila dilihat kembali, masih wujud ketidakpastian dalam diri. Tidak sefokus Fahri.

Dan seperti yang saya sebutkan tadi, gaya penulisannya juga tidak memberatkan para pembaca. Ada tempat-tempat yang mampu menyedarkan, ada yang mampu membuat kita berfikir,
Dalam Ar-Ra’ad ayat sebelas Allah berfirman: Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum kecuati kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya. Jadi nasib saya, masa depan saya, mahu jadi apa saya, sayalah yang menentukan. Berjaya dan gagalnya saya, sayalah yang menciptakan. Saya sendirilah yang merancang apa yang akan saya raih dalam hidup ini. Ms 164

Wa man yattaqillaha yaj’al lahu makhraja. Siapa yang bertakwa kepada Allah maka Dia akan menjadikan untuknya jalan keluar. Ms 232


ada yang membuat kita menangis, ada yang membuat kita tersenyum dan ada juga yang lucu. (Bab 16 – Ketika Hati Berdesir-desir. Bab 17. Bab 18 – Pertemuan). Yang pasti, sepanjang pembacaan saya, saya membanding-bandingkan novel ini dengan buku-buku lain yang pernah saya baca. Sebelum ini memang ada novel-novel yang boleh membuatkan saya menangis atau tertawa (atau mungkin saya ni memang emosi orangnya), tetapi novel ini begitu lengkap menggabungkan berbagai rasa. Istimewa.

Perjuangan Fahri sebagai seorang mahasiswa Sarjana Al-Azhar menempuhi berbagai dugaan. Konflik-konflik cinta yang dialami. Orang-orang yang ditemuinya. Segalanya mengimbangi kekuatan dan kelemahan yang ada pada manusia biasa. Penulis telah bertindak dengan sangat adil. Ada saat-saat yang membuatkan saya jatuh cinta pada Fahri (Kalau memang wujud insan seperti itu.... saya sanggup ........). Ada juga saat-saat yang membuatkan saya menilai kewajaran tindakannya. Atau membandingkannya dengan tindakan orang-orang yang pernah saya kenali. Dan ada juga watak-watak yang menampar saya dengan hebatnya. Terngadah dengan kebodohan diri. saya sendiri.

Ya Allah, letakkanlah dunia di tanganku, jangan di hatiku. Ms 336


Saya tidak pasti, adakah mungkin kerana novel ini muncul (kepada saya) pada saat yang tepat semata-mata atau memang benar novel ini memang menakjubkan dengan sendirinya? Saya rasa setiap orang harus membaca dan mengalaminya sendiri.
Kerana saya rasa saya telah menemui kekuatan kembali.


PadaMu
Kutitipkan secuil asa
Kau berikan selaksa bahagia
PadaMu
Keharapkan setitis embun cinta
Kau limpahkan samudera cinta


Salam Khayalz

:)

Labels:




Berfikir sejenak 2:20 PM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com