Khatulisjiwa Khayalz



Sunday, February 08, 2009


Cabaran Guru di Alaf Baru 7 Februari 2.30-4.30petang , KGMS

Saya cukup beruntung kerana dapat menyertai seminar anjuran KGMS semalam. Ini kerana, penceramah yang telah dijemput, ialah tidak lain dan tidak bukan, pendeta kita, Dr. Muhd Ariff Ahmad. Saya selalu melihat beliau sebagai seorang bukan sahaja wajar diberikan penghormatan tinggi tetapi juga sebagai seorang yang kaya dengan ilmu dan pengalaman. Malah, saya pasti, para hadirin pada hari itu amat terkesan dengan kata-katanya. Saya cukup kagum dengan pengalaman beliau dan bagaimana pengalaman itu sememangnya dapat dijadikan iktibar, malah juga sumber motivasi bagi guru-guru muda.

Aura Dr. Ariff cukup menenangkan. Bersahaja dan mesra. Jika ingin dikongsi semua yang telah beilau bicarakan di sini, saya rasa terlalu panjang pula. Lagi pun, saya pula sedang mengejar masa untuk menghabiskan berbagai perkara pagi ini. Namun, satu perkara yang paling menarik ialah perbezaan antara Cikgu dan Guru yang beliau sebutkan. Menurut beliau, guru merupakan gabungan dua kata dari bahasa Sanskrit yang membawa erti, Gu - memberitahu, bermaksud, memberi ilmu kepada murid-murid , dan Ru - panduan, bermaksud, seorang yang menunjukkan contoh dari segi perilaku yang baik bagi murid-muridnya. Untuk melaksanakan Gu memang pada lazimnya lebih mudah dari Ru. Oleh kerana itu, kita dikenali sebagai Cik-Gu. Tetapi untuk menjadi seorang Gu+Ru itu tidak mudah kerana bakti yang kita junjung harus wujud dari dalam diri kita sendiri.

Beliau juga mengistilahkan guru sebagai "wira bangsa" atau "wira dan wiri" yang berbakti kepada bangsa. Bukan "wira wiri" (bermaksud 'mundar-mandir' dalam bahasa Jawa. Justeru cabaran bagi guru-guru adalah untuk menyampaikan ilmu dengan bertanggungjawab, tidak menyia-nyiakan kemuliaan di sebalik kelayakan tersebut.

Saya juga cukup tertarik dengan jawapan yang beliau berikan apabila seorang guru yang hadir bertanya tentang tips untuk menjadi seorang yang masih kuat ingatannya pada usianya sedemikian. Beliau berkongsi tentang kepentingan untuk memastikan wujudnya keseimbangan dalam peraihan ilmu dunia dan akhirat, seperti apa yang beliau amalkan setiap hari - membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu kali pada salah satu solat lima waktu dan membaca surat khabar setiap pagi.

Dan satu perkara yang saya tidak mungkin dapat lupakan dan akan saya pegang sampai bila-bila, adalah apabila beliau tukil ayat akhir dari surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." dan katanya lagi,
"bersyukur dengan apa yang ada dan doalah minta tambahan".

Sememangnya merupakan satu perkongsian yang amat-amat bermakna. Apalagi sejajar dengan realiti yang semakin menduga kewarasan saya sebagai guru baru ketika ini. Semoga Allah s.w.t terus membekalkan kita dengan kekuatan dalam merealisasikan amanah ini.

:)

Salam khayalz

Labels:




Berfikir sejenak 8:25 AM :D



aKu

Khayalz

*hanya aku, jiwaku dan Dia*

"Duduk di atas batu seperti ini, dikitari sunyi dan derai angin,
gemericik air, suara belalang dan jangkerik,
aku merasa tengah duduk di atas singgahsanaku sendiri yang telah begitu kukenal.
Singgahsana dalam kerajaan khayal.
Singgahsana kemilau cahaya yang telah ditinggalkan oleh si buta
bersama rahsia kebebasan dan kemerdekaannya.
Pernahkah mereka berpikir bahawa semua anak punya rahsia itu adalah kerajaan megahku,
di mana dapat kuperintah segenap pasukanku dengan kuasa dan kemampuanku dalam meniru kebijaksanaan Ratu Balqis?"
.:Perempuan Berkalung Sorban:.

::Khatulisjiwa::

Suatu penelusuran madah bicaraku, merentasi sempadan khatulistiwa jiwa
Biar pengalaman diriKu menjadi saksi


Santapan minda


Mawar Shafie
Isa Kamari
Marsli N.O
Cikgu Pitchay Gani
Teratak Anna Abadi




Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com